Malaysia yang terlebih dahulu telah pun mengesahkan pingat emas sewaktu menewaskan Singapura, semalam dalam acara 50 over, melengkap kejayaan dengan menundukkan Indonesia dengan 251 larian.
Skuad kebangsaan berjaya menyempurnakan 320 larian untuk sembilan wiket, manakala Indonesia melakukan 69.
Dalam perlawanan tersebut, kapten Malaysia, Anwar Arudin beraksi cemerlang apabila melakukan 162 larian, sementara rakan sepasukan, Virandeep Singh menyempurnakan 58 larian.
Pingat perak menjadi milik Singapura dan Thailand merangkul gangsa.
Pengurus pasukan, Shanker Retinam berkata, dia gembira kejayaan sulung skuad kriket negara di pentas Sukan SEA.
“Saya berterima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia yang memberi peluang buat sukan kriket diperkenalkan dalam temasya ini.
“Malaysia mempunyai sebuah pasukan yang bagus dan berada pada kedudukan baik di peringkat antarabangsa. Saya harap selepas ini kriket akan terus dipertandingkan dalam Sukan SEA,” katanya.